PENGENALAN:PENGURUSAN PEMBANGUNAN ISLAM

Pendahuluan

Pengurusan Pembangunan Islam merupakan satu ideologi yang melibatkan unsur-unsur yang terdapat didalam pengurusan yang digabungkan dengan unsur-unsur Islam dalam merealisasikan pembangunan dalam diri, keluarga dan masyarakat bagi membangunkan institusi dan negara yang berlandaskan Islam. Teori Pengurusan Pembangunan Islam ini telah dimulakan oleh Professor Muhammad Syukri Salleh iaitu Pengarah di Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV). Pengurusan Pembangunan Islam bagi peringkat Sarjana telah dijalankan di USM manakala untuk pengajian di peringkat Sarjana Muda telah dijalankan di KUIM bermula tahun 2012.

7 Prinsip

7 Prinsip Pembangunan Berteraskan Islam ini merupakan unsur-unsur utama yang menjadi tunjang kepada konsep pengurusan pembangunan. Menurut Muhammad Syukri Salleh ( 2003), Pengurusan Pembangunan Islam mesti berada didalam landasan 7 prinsip iaitu:

  1. Tasawwur Islam Sebagai Acuan Pembangunan
  2. Manusia Sebagai Pelaku Pembangunan
  3. Alam Roh, Alam Dunia dan Akhirat Sebagai Skala Waktu Pembangunan
  4. Ilmu Fardhu Ain Sebagai Kerangka Pembangunan
  5. Ibadah Sebagai Perkaedahan Pembangunan
  6. Sumber Alam Sebagai Peralatan Pembangunan
  7. Mardhatillah Sebagai Matlamat Pembangunan

Prinsip-prinsip diatas sekiranya dilihat dengan lebih teliti berkesinambungan dengan apa yang terdapat aspek Islam dalam pembangunan manusia kerana ia merangkumi hal jasmani dan rohani.

Kepentingan Prinsip Islam sebagai panduan kepada pembangunan.

Kepentingan prinsip Islam dalam pembangunan bukan sekadar berkisar tentang hal yang berlaku sekarang malah jika dilihat pada zaman sebelumnya, pembangunan berpandukan prinsip Islam ini telah diamalkan oleh pemerintahan Islam sehingga kepada Rasulullah s.a.w. Antara kepentingan prinsip Islam sebagai panduan kepada pembangunan ialah:

  1. Prinsip Islam merupakan prinsip terbaik kerana ia menepati fitrah manusia.
  2. Prinsip ini mendorong kepada pembangunan jiwa yang menjadi sebab kepada kecekalan dan kemantapan sesuatu pembangunan material.
  3. Prinsip ini mengekang manusia daripada melakukan sesuatu perkara yang berlawanan dengan sifat murni walaupun dalam usaha untuk mengejar kemajuan.
  4. Mengekang kejahatan yang berlaku akibat pemikiran dan niat yang tidak baik dalam diri manusia dalam menguruskan organisasi.
  5. Mewujudkan suasana damai dalam masyarakat.
  6. Mengelakkan salah guna kuasa dalam kepimpinan.
  7. Menghadirkan sifat Ihsan dalam setiap pekerjaan yang dilakukan dalam organisasi.
  8. Mencapai mardhatillah (redha Allah).

Kesimpulan

Kesimpulan yang dapat diambil dalam pengenalan ini adalah pengurusan pembangunan Islam bukanlah hanya teori yang berlandaskan akal semata-mata tetapi ia merupakan prinsip tunjang kemanusian untuk menjaga kemaslahatan ummah dalam menuju pembangunan yang lebih harmoni dan sistematik.

Sumber Rujukan:

  1. http://isdevnews07.blogspot.my/
  2. http://syukri54.blogspot.my/
  3. Muhammad Syukri Salleh, 2003, 7 Prinsip Pembangunan Berteraskan Islam, Zebra Edition Sdn.Bhd, Kuala Lumpur.
Advertisements

Keajaiban yang berlaku sebelum Kelahiran Rasulullah s.a.w

bismillah-910299_960_720

Semoga Allah Merahmati Baginda Muhammad s.a.w dan Ahlul Bait.

Para Sahabat Utama yang mulia.

Para Masyaikh Silsilah Naqshabandi Mujadidiah. Para Guru kami.

Dimulakan dengan bismillah atas nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Moga diampunkan dosa penulis dan pembaca dan diberi belas kasih-Nya.

Keajaiban yang berlaku sebelum Kelahiran Rasulullah s.a.w

  1. Ketika Nur Muhammad s.a.w masuk ke dalam rahim Siti Aminah. Allah memerintahkan para malaikat supaya membukakan pintu syurga Firdaus dan memberitahu penghuni langit dan bumi.Tanah-tanah dikawasan tersebut yang kering menjadi subur, pohon-pohom kayu rimbun dan berbuah lebat.
  2. Semasa berada didalam kandungan ibundanya, Siti Aminah tidak merasa susah seperti yang dialami oleh ibu-ibu hamil yang lain. Kehamilannya hanya disedari melalui berita daripada malaikat yang datang kepadanya ketika beliau sedang tidur. Malaikat mengatakan bahawa beliau sedang mengandungkan seorang Nabi dan penghulu kepada seluruh umat manusia.
  3. Peperangan tentera bergajah yang disebut melalui surah Al-Fill datang menyerang Mekah. Dinamakan tentera bergajah kerana pasukan tentera yang menyerang ingin  menjatuhkan kaabah menunggang gajah. Mereka diketuai oleh Raja Habsyah di Yaman bernama Abrahah as-sabah Al-Habsyi yang menunggang gajah besar bernama Mahmudi. Serangan mereka dipatahkan dengan kehadiran tentera burung ababil seperti yang disebut didalam surah tersebut.
  4. Aminah turut mengalami mimpi yang menakjubkan. Beliau menadah tangan ke langit dan melihat sendiri malaikat turun dari langit umpama kapas putih yang terapung di angkasa. Kemudian malaikat tersebut berdiri dihadapannya lalu berkata: “Khabar bahagia untuk saudara wahai boda daripada seorang nabi. Putera saudara itu penolong dan pembebas bagi seluruh manusia, namanya Ahmad”.
  5. Ketika baginda dilahirkan, bondanya menyaksikan cahaya keluar daripada tubuh badan baginda. Cahaya tersebut menyinari sehingga ke istana Busra di Syria. Ia kelihatan seperti anak panah bagaikan pelangi sehingga dapat dilihat jauh. Cahaya tersebut keluar terang benderang dari rumah Siti Aminah sehingga ramai orang Arab datang ke rumahnya kerana melihat peristiwa luarbiasa itu. Saat itu juga terjadi peristiwa terpadam api di kuil Majusi yang apinya tidak pernah terpadam sebelumnya. Selain itu, berhala-berhala disekitarnya hancur musnah.
  6. Bau wangian semerbak kasturi menusuk hidung sehingga membangkitkan suasana damai ke dalam sanubari orang yang berada disitu. Baginda Nabi s.a.w berada dalam keadaan terbaring dengan kedua belah tangannya mengangkat ke langit seperti berdoa.
  7. Aminah melihat awan (malaikat) menyelimuti dirinya sehingga beliau mendengar satu seruan: “Pimpinlah dia mengelilingi bumi timur dan barat, supaya mereka tahu dialah akan menghapuskan segala perkara syirik. Para Malaikat memandang baginda sehingga baginda yang masih kecil itu bersendawa menyebut “Alhamdulilah” dan para malaikat pun menjawab ” Yarhamkallah”. Selepas itu, awan (Malaikat) lenyap daripada pandangan Siti Aminah.

Perkara diatas adalah antara keajaiban yang berlaku sebelum, semasa dan sesudah kelahiran Rasulullah s.a.w. Sesungguhnya Nabi Muhammad s.a.w itu adalah insan yang mulia dari segi hakikat, penciptaan, paras rupa dan keadaan baginda. Perkara ini dapat dilihat didalam kitab “Cahaya diatas Cahaya” dan “Syamail Muhammadiah”. Selamilah hal ini para sahabat sekalian. Ini Rasul kita yang memberikan syafaat ketika keadaan kacau bilau disana.

Sentiasa hadirkan selawat kepada baginda s.a.w. Ia menjadikan kita umat yang faham erti syukur akan Islam yang bersemadi didalam diri kita. ” Sayang Nabi, Sayang diri”. Wallahu’alam.

 

 “Sampaikan Ilmu Setiap Hari, Inilah Saham yang tidak pernah rugi”

 

 

Akhlak Rasulullah: Rendah Hati

bismillah-910299_960_720

Semoga Allah Merahmati Baginda Muhammad s.a.w dan Ahlul Bait.

Para Sahabat Utama yang mulia.

Para Masyaikh Silsilah Naqshabandi Mujadidiah. Para Guru kami.

Dimulakan dengan bismillah atas nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Moga diampunkan dosa penulis dan pembaca dan diberi belas kasih-Nya.

Kerendahan Hati Rasulullah s.a.w.

Rendah hati merupakan salah satu sifat yang terdapat didalam ajaran tasawuf dimana sifat rendah hati ini merujuk kepada tawadhu’ dalam kehidupan. Rendah hati ini bukanlah satu kelemahan malah ia sebenarnya merupakan salah satu akhlak yang terdapat pada zahir dan batin junjungan besar, Nabi Muhammad s.a.w. Meskipun baginda merupakan manusia yang paling mulia disisi Allah s.w.t namun baginda tidak pernah sombong dalam kedudukan tersebut.

Diantara contoh tawadhu’ yang terdapat pada Jujungan besar Sayyidina Muhammad s.a.w:

  1. Didalam bab kenderaan  ketika zaman baginda, baginda menunggang apa sahaja haiwan yang ada pada baginda. Haiwan yang pernah ditunggangi oleh baginda sepeti kuda, unta, baghal (kuda kecil) dan himar. Bahkan baginda kadangkala berjalan tanpa alas kaki, tanpa rida’ dan penutup kepala. Hal ini sangat menarik kerana pada zaman tersebut raja-raja negara yang berjiranan dengan mekah dan madinah sudah menggunakan tenaga manusia sebagai kenderaan bagi menunjukkan kebesaran mereka. Memperlihatkan secara terperinci bahawa Rasulullah ini amat merendah diri didalam kehidupan baginda.
  2. Rasulullah sering mempersilakan hamba sahaya atau sahabat-sahabat membonceng dibelakangnya. Baginda pernah memboncengkan Usamah bin Zaid dari Arafah, Fadl bin ‘Abbas dari Muzdalifah, Muadz bin Jabal, Ibnu Umar dan sahabat-sahabat yang lain.
  3. Rasulullah tidak segan tidur diatas lantai. Jika para sahabat membentangkan kain, maka baginda akan tidur diatasnya. Jika tidak, baginda tidak berkehendak atas alas tersebut. Alas tempat tidur baginda hanyalah sabut, hamparan pelepah, panjang dua hasta dan lebarnya satu hasta lebih satu kaki. Baginda tidak mempunyai alas lain selain itu.
  4. Rasulullah bergaul dengan semua golongan termasuk golongan fakir dan miskin. Hal ini diceritakan oleh Abu Sa’id, katanya: ” Satu hari saya duduk saling bersama-sama orang miskin kaum Muhajirin. Mereka duduk saling berdekatan untuk menutupi bahagian tubuh mereka yang terbuka. Kemudian Rasulullah s.a.w duduk ditengah-tengah kami supaya dilihat oleh semua orang yang sedang berkumpul.Baginda mempunyai hamba lelaki dan perempuan serta makanan serta pakaian baginda tidak jauh beza dengan makanan dan pakaian mereka.
  5. Rasulullah s.a.w selalu memenuhi undangan orang yang mengundangnya, baik orang itu merdeka, hamba sahaya, berbeza bangsa, berkulit putih mahupun hitam.
  6. Tempat duduk baginda s.a.w tidak dapat dibezakan dengan tempat duduk para sahabat kerana biasanya tempat duduk baginda meskipun dihujung namun bersambung dengan tempat para sahabat. Sifat baginda ini amat berbeza dengan pembesar pada masa sekarang.

Diatas merupakan sebahagian sifat merendah diri dan hati junjungan mulia kita, Nabi Muhammad s.a.w. Moga kita sama-sama mengambil ibrah dan tauladan. Wallahu’alam.

 

 “Sampaikan Ilmu Setiap Hari, Inilah Saham yang tidak pernah rugi”

 

Siapakah “Ahlul-Bait”

bismillah-910299_960_720

Semoga Allah Merahmati Baginda Muhammad s.a.w dan Ahlul Bait.

Para Sahabat Utama yang mulia.

Para Masyaikh Silsilah Naqshabandi Mujadidiah. Para Guru kami.

Dimulakan dengan bismillah atas nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Moga diampunkan dosa penulis dan pembaca dan diberi belas kasih-Nya.

Siapakah yang disebut sebagai Ahlul Bait.

Istilah Ahlul-Bait berasal dari firman Allah s.w.t sebagaimana yang telah termaktub didalam Al-Quran. Firman Allah:

Untitled

Mafhumnya:

Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat; dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya. Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan diri kamu – wahai “AhlulBait” dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari segala perkara yang keji).

(Surah Al-Ahzab: 33: 33)

Ahlul Bait bermaksud ” keluarga” atau “anggota rumahtangga”. Namun, terdapat perbezaan pendapat dikalangan  ahli tafsir.

  • Muhammad Jawad Maghniyyah dalam kitabnya yang berjudul “Al-Husain Wal Quran” halaman 18-19 menyatakan bahawa menurut riwayat ‘Ikrimah dan Az-Zayyad, ayat tersebut ditujukan khusus kepada para isteri Rasulullah s.a.w. kerana tafsiran ayat sebelumnya berkaitan dengan isteri baginda.
  • Sebahagian besar ahli tafsir berpegang pada riwayat Abu Sa’id Al-Khudhariy yang mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w pernah menegaskan: Ayat itu turun untuk lima orang, iaitu aku sendiri (Rasulullah s.a.w), Ali, Fatimah, Hasan dan Husein”.
  • Imam Tarmidzi mengetengahkan sebuah hadis yang dibenarkan oleh Jarir, Ibnu-Mundzir, Al-Hakim, Ibnu Mardawih dan Al-Baihaqi. Hadis tersebut berasal dari isteri Nabi s.a.w, Ummu Salamah. Beliau mengatakan ” Dirumahku turun ayat (diatas) dan ketika itu dirumahku terdapat Fatimah, Hasan dan Husein. Rasulullah s.a.w kemudian menutupi mereka dengan kain yang dipakainya sambil berkata: ” Mereka inilah ahli-baitku. Allah telah menghapuskan noda dan kotoran dari mereka dan telah mensucikan mereka”. 
  • Syeikh Muhammad Abduh dalam kitab tafsirnya “Al-Manar” dalam menafsirkan ayat 84 surah Al-An’am:

UntitledMahfumnya:

Dan Kami telah kurniakan kepada Nabi Ibrahim: (anaknya) Ishak (dari isterinya Sarah), dan (cucunya) Yaakub. Tiap-tiap seorang (dari mereka) Kami telah berikan petunjuk, dan Nabi Nuh juga Kami telah berikan petunjuk dahulu sebelum itu; dan dari keturunan Nabi Ibrahim itu (ialah Nabi-nabi): Daud, dan Sulaiman, dan Ayub, dan Yusuf, dan Musa, dan Harun. Dan demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amal perbuatannya.

  • Didalam tafsir surah diatas, Syeikh Muhammad Abduh mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang mafhumnya: ” Semua anak Adam bernasab kepada orang tua lelaki (ayah mereka), kecuali anak-anak Fatimah. Akulah ayah mereka dan akulah yang menurunkan mereka”. Hal ini ditegaskan lagi oleh sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dalam kitab “Al-Hakam” dan Imam Muslim dalam kitab ” Al-Imarah” iaitu hadis menerangkan bahawa Rasulullah s.a.w sambil menunjuk kepada dua orang cucunya yang mulia dan menyatakan: “Dua orang puteraku ini adalam Imam-imam, baik disaat mereka sedang duduk atau sedang berdiri”.

Dengan keterangan diatas, harap jelas kepada pembaca siapakah yang dimaksudkan dengan Ahlul-Bait dalam surah Al-Ahzab ayat 33 adalah Sayyidina Ali bin Abi Thalib r.a, Sayyiditina Fatimah r.a, Sayyidina Hasan bin Ali dan Sayyidina Husein bin Ali r.a. Penafsiran ini didefinisikan berdasarkan ucapan Rasulullah s.a.w sendiri sebagaimana yang diriwayatkan oleh banyak hadis yang sahih.  Wallahu’alam.

 

” Sampaikan Ilmu Setiap Hari, Inilah Saham yang tidak pernah rugi”

Atsar: Hormati Majlis Ilmu

Al-Thabrani meriwayatkan daripada Abu Hazim daripada Sahal r.a berkata bahawa beliau menyampaikan kuliah tentang sunnah Nabi s.a.w. kepada kaumnya. Terdapat dikalangan mereka yang hadir bersembang dan tidak memberikan perhatian.

Beliau merasa marah dengan sikap buruk yang ditunjukkan oleh kedua-dua individu itu lalu bangun meninggalkan para jemaah. Beliau berkata: ” Lihat golongan ini, aku sedang mengajar mereka apa yang aku pelajari daripada Nabi s.a.w, tiba-tiba mereka sibuk menceritakan perkara lain. Lebih baik bagiku keluar dari tempat ini dan aku tidak akan kembali lagi.”

Abu Hazim lantas bertanya kepadanya: ” Ke manakah tuan akan pergi membawa diri?” Jawabnya: ” Aku akan pergi berjihad di jalan Allah “. Beliau seterusnya ditanya:” Bagaimana tuan boleh turut serta sedangkan tuan merupakan orang tua yang uzur dan dikecualikan daripada berjihad?” Jawabnya: Wahai Abu Hazim! Aku akan menyertai peperangan di barisan hadapan supaya terkena anak panah atau senjata yang tersasar, lalu aku mati syahid”.

( Riwayat Al-Haithami, Hayatus Sahabah 3/642, Menghormati majlis ilmu )

Apa Ertinya Ucapan Hari Bapa dan Hari ibu jika begini akhirnya.

Semalam, ramai yang mengucapkan hari bapa. Gembira dan berbunga-bunga isinya. Diucapkan terima kasih kerana menjaga, mendidik dan menanggung perbelajaan hidupnya. Bahagia orang yang membaca. Sungguh.

Namun, realiti kehidupan sebenar bukan berakhir dengan bunganya semata-mata. Ucapan itu mungkin boleh menjadi kenang-kenangan bagi ibu bapa yang melihat. Anak akan makin membesar dan dewasa. Seterusnya bekerja dan berkahwin serta beranak pinak. Usia ibu bapa sudah semakin tua. Awalnya sudah mula gugur gigi. Seterusnya, rendah dan tinggi dirasakan sama, mata sudah kurang pekanya dan nyanyuk sudah mula menjelma. Pada waktu itu, kita sebagai anak-anak adakah sama ungkapannya atau hati sudah mula rasa ibu bapa sebagai beban. Ingatlah wahai anak-anak andai satu masa mereka sudah tua. Apakah kita akan realisasikan setiap kemahuan mereka? Adakah kita menjadi anak yang menjaga? Tepuk dada tanya iman kita.

Jarang dilihat anak yang beramai itu sama-sama menjaga ayah dan ibu. Apa yang berlaku, kita lebih kerap memberi alasan dari membuat persiapan. Ditolak ibu bapa kesini kesana. Sibuk bekerja dan tiada siapa yang menjaga menjadi alasan utama. Yang perempuan mengatakan menjaga ibu bapa tanggungjawab lelaki dan lelaki memberi alasan ” cliche”. Akhirnya duduklah ibu bapa di rumah orang tua. Bila tiba masa ibu bapa meninggal. Duit yang berbaki bernama ” pusaka”. Sudah dilihat dengan 4 mata. Waktu itu, mungkin kitalah anak-anak yang mengaku nasabnya dengan ibu bapa kita. Waktu itu siap bergaduh akulah pewaris yang berhak. Muka tidak malu. Sibuk menadah juga.

Ini realiti kehidupan sebenarnya apabila sudah makin berusia. Bukan semua tetapi kebanyakkannya begitu. Jagalah ibu bapa kita sebaiknya pada masa tua. Bukankah syurga dibawah tapak kaki ibu. Jangan dilupa doanya ayah juga memainkan peranan dalam kehidupan. Jika dirasa kerap kali tiada keberkatan dalam kehidupan. Kaji kembali adakah ibu bapa kita redha pada kita. Apa ertinya ucapan hari bapa dan ibu jika begini akhirnya.

Sumber: Al-Faqir Muhammad Dhamiri

Viral: Pandangan Allah atau Manusia

Teknologi pada masa kini sudah menyebar luas ke setiap pelusuk negara tidak kira anda berada di India, anda boleh mengetahui hal yang berlaku di USA. Begitu juga masyarakat yang berada di USA boleh mengetahui liputan atau kes yang terjadi di Malaysia. Perkara ini merupakan satu kebaikan secara asasnya kerana dengan terdapatnya kemudahan maka setiap perkara boleh disampaikan kepada masyarakat. Isu viral kerap kali didendangkan kepada kita dari segi gambar, video dan audio.

Namun, viral sejak akhir-akhir ini sudah menjadi “trend” dalam menunjukkan hal-hal yang berkaitan dengan kehidupan seharian. Media utama yang memasyhurkan viral ini adalah facebook. Facebook merupakan satu platform media yang menjadi kegilaan remaja pada masa kini selain twitter dan instagram. Kegilaan kepada perkara media ini kerap kali ditimbulkan oleh masyarakat dari golongan ibu bapa dan guru bahkan suami dan isteri. Kegilaan ini bukan perkara yang utama yang ingin ditimbulkan oleh penulis namun hanya selingan semata-mata.

Perkara yang yang ingin disampaikan penulis adalah sikap menyebarkan hal-hal yang dilakukan oleh masyarakat zaman sekarang. Tidak kira dari golongan agama, orang awam, mahasiswa dan semua lapisan masyarakat. Budaya memberitahu segala perkara baik yang dilakukan sering kali dilihat berlaku dalam media yang disebutkan diatas. Kebiasaannya perkara yang ditimbulkan adalah berkaitan dengan hal agama. Penulis tetarik dengan satu kenyataan yang ditulis oleh seorang pengguna media sosial yang menyatakan bahawa “ Kami post gambar dan video ini bukan kerana nak tunjuk baik tetapi nak jadikan tauladan dalam masyarakat”. Perkataan dan alasan cliche ini sentiasa mendapat tempat dalam majoriti apabila ditegur supaya tidak terlalu “show off” dalam melakukan kebaikan.

Bagi pandangan penulis, memberikan tauladan dalam melakukan kebaikan adalah bagus tetapi ianya perlu berlaku secara spontan. Adakah pembaca pernah mendengar tentang istilah “tangan kiri” didalam hadis Nabi dalam menyatakan bab melakukan kebaikan? Perkara ini harus diperhatikan oleh semua pihak sebenarnya. Memberikan tauladan adalah menunjukkan hal yang baik dalam lingkungan masyarakat tanpa diberitahu. Apabila sesuatu perkara ditunjuk maka ia tidak lagi menjadi tauladan sepenuhnya tetapi termasuk dalam mencanang dan memberitahu. Benar, jika ditilik pada hati memang tidak nampak adakah niat itu benar atau salah. Namun, perlu diingatkan dalam hati kita apabila “berniat” itu adakah untuk mencapai mardhatillah (redha Allah) atau redha manusia?

Jika dikata kedua-dua perkara yang diinginkan. Kebiasannya hal itu tidak akan terjadi. Kebaikan tidak boleh bercampur dengan hal-hal yang boleh membawa kepada syubhah maka ia akan menjadi keraguan. Keraguan yang terjadi didalam hal ini terdapat dalam dua bentuk. Pertama, keraguan pada pembaca atau orang yang melihat. Sering diperkatakan bahawa kena sentiasa berfikir baik dalam kehidupan kerana manusia ini ada pelbagai keadaan. Jika tidak, Islam tidak akan mengadakan perintah untuk menyembunyikan hal kebaikan yang dilakukan. Semua ini untuk mengelakkan hal yang berkaitan dengan hati seperti takbur, ujub dan suma’ah terjadi. Kedua, keraguan hati dalam menerima ujian pujian kepada pelaku kebaikan. Ini sebenarnya titik-titik pemusnah didalam sesuatu amal seseorang. Pembaca sendiri boleh melihat bagaimana sirah-sirah sahabat dalam melakukan kebaikan tetapi tidak diwar-warkan namun diketahui orang apabila berlaku pengkhabaran oleh orang lain namun tidak pernah dicatatkan bahawa mereka yang mulia ini memberitahu ke seluruh tanah takluk Islam atas jasa dan kebaikan mereka.

Kesimpulan yang dapat diambil, kebaikan ini sebenarnya perlu disembunyikan sepertimana kita menyembunyikan aib kita. Ini kerana, kebaikan ini merupakan modal dan saham kita dalam mencapai redha Allah kelak.
P/s: Penulisan ini merupakan hal yang diingatkan juga kepada penulisnya.

Menelusuri Umar Al-Khattab

Umar bin Khattab bin Naufal bin Abdul Uzza bin Rabah bin Abdullah bin Qarti bin Razah bin Adi bin Kaab. Sangat terkenal dengan gelaran Abu Hafs dan Al-Faruq ( pembeza antara hak dan batil; gelaran yang diberikan oleh Rasulullah kepada beliau). Dilahirkan 13 tahun selepas tahun gajah (khilaf). Perbezaan yang dikemukakan antara beliau dengan Rasulullah s.a.w lebih kurang 10-13 tahun (khilaf).

Dilaporkan oleh Ibnu Hisyam didalam kitab yang dikarang oleh beliau menukilkan bahawa Sayyidina Umar mendapat hidayah melalui saudara perempuan beliau., Fatimah dan suaminya, Said bin Zaid. Perkara ini diceritakan banyak didalam sejarah dan atsar yang mana akan dikemukakan oleh penulis dalam penulisan yang lain. Pengislaman beliau sendiri dihadapan Rasulullah s.a.w dan berita ini menjadi kegembiraan bagi orang Islam dan kejutan bagi bukan Islam.

Penelusuran kisah Sayyidina Umar didalam “post” kali ini adalah ingin membentangkan kepada pembaca beberapa hal yang menarik berkaitan dengan beliau sepanjang sejarah yang berlaku:

  1. Sayyidina Umar merupakan pilihan dari Allah. Didalam atsar ada diriwayatkan Nabi berdoa dengan menyebut ” Ya Allah, kuatkanlah Islam antara dua Umar, sama ada Umar bin Hisyam (Abu Jahal) atau Umar bin Khattab.
  2. Sayyidina Umar datang untuk memeluk Islam di rumah Al-Arqam bin Abi Al-Arqam dalam keadaan menghunus pedang. Ini menunjukkan beliau merupakan orang yang mempunyai sikap tegas yang tinggi dan tidak takut kepada musuh.
  3. Abdullah bin Mas’ud pernah menyatakan ” Kita (umat Islam) sentiasa mulia semenjak Umar masuk Islam”.
  4. Sayyidina Umar merupakan orang pertama yang masuk Islam mengkhabarkan keislamannya dan solat di kaabah. Perkara ini sangat jarang terjadi pada ketika itu. Kerana itu beliau digelar sebagai Al-Faruq.
  5. Sayyidina Umar merupakan orang yang mulia antara orang Quraisy. Pada zaman jahiliah, beliau merupakan orang tengah bagi penyelesaian hal yang berlaku diantara kaumnya dan kaum yang lain. Perkara ini bertambah baik setelah beliau memeluk Islam.
  6. Menurut Syifa’ binti Abdullah; Dia berkata ” Demi Allah, apabila Umar bercakap; maka perkataanya akan didengari; apabila berjalan; jalannya cepat dan apabila memukul, pukulannya menyakitkan. Beliau merupakan seorang ahli ibadah.
  7. Sayyidina umar ditakuti oleh manusia dan syaitan. Perkara ini disebutkan didalam hadis Nabi yang bunyinya seakan ini didalam kitab Jama’ al-sahih karangan Muhammad bin Ismail Al-Bukhari:

    Demi zat yang jiwaku dalam genggamannya, apabila syaitan berjumpa dengan kamu (Umar) di jalan kamu lalui, maka ia mencari jalan lain yang tidak kamu lalui“.

  8. Menurut Ibnu Hajar, pendapat Sayyidna Umar yang bertepatan dengan Al-Quran dan menjadi asbab (punca) kepada asbabun nuzul (punca turun) ayat Al-Quran adalam sebanyak 15 kali namun pada pendapat Imam Sayuti adalah sebanyak 21 kali.
  9. Sayyidina Umar merupakan khalifah kedua Islam yang dipilih melalui syura’.
  10. Sumbangan Sayyidina Umar didalam Islam cukup banyak sekiranya mahu digambarkan. Namun semasa pemerintahan, beliau dikenali dengan sumbangan perluasan kuasa pemerintahan Islam, asas peraturan pemerintahan dan menyebarkan ilmu.

Perubahan dalam kehidupan

Perubahan merupakan hal yang berkaitan satu pertukaran sikap atau keputusan yang bersangkut ia dengan pilihan, fikiran dan emosi. Kebiasaannya perubahan ini dikaitkan dengan hal seseorang yang berubah dari baik menjadi jahat dan sebaliknya. Penulis menceritakan hal perubahan ini apabila melihat seorang rakan melakukan anjakan paradigma ( lebih kurang dengan perubahan maksudnya) dalam kehidupan seharian beliau yang malas belajar, selekeh, dan berbuat masalah boleh berubah dengan kata yang dikeluarkan oleh seorang wanita dalam hidupnya. Sangat menakjubkan bagi penulis apabila emosi ditambah dengan ayat menghasilkan perubahan yang ketara. Sehingga kini penulis melihat rakan penulis ini menjadi seorang yang kuat usaha, kemas dan rajin dalam melakukan kertas kerja yang ditugaskan. Subhanallah.

Kerana itu, didalam Al-Quran disebutkan bahawa perubahan ini boleh dilakukan apabila ada daya usaha dalam melakukan dan bukan semata-mata mengharapkan ” bulan jatuh ke riba”. Firman Allah:

rad 11

Maksudnya:

Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya.

( Surah Al-Ra’d: 13: 11)

Dalam kehidupan, perubahan ini juga berdasarkan izin Allah yang berhak membolak balik hati. Namun begitu, usaha dalam melakukan sesuatu juga tidak boleh diabaikan oleh setiap orang. Banyakkan tawakal dalam menjalankan perubahan yang baik. Jangan dilupa bahawa kita sebagai manusia mempunyai dua musuh utama iaitu syaitan dan nafsu. Syaitan adalah musuh yang terdapat dalam dua bentuk, sembunyi dan nyata. Nyata itu dalam bentuk manusia ( mungkin kawan, keluarga, sahabat dan kerabat). Sembunyi itu adalah diri kita sendiri mahu memilih yang mana dalam membuat satu perkara. Allahu.

 

 

 

 

Permulaan Kehidupan

Permulaan kehidupan… Pemulaan kehidupan merupakan satu titik pemula kepada manusia ibarat penulisan. Tanpa lahir maka kita tidak ada secara hakiki didalam dunia. Tanpa titik maka tidak ada penulisan. Alhamdulillah berjaya menghasilkan blog yang kosong, usang dan dhaif ini. Minta tunjuk ajar daripada golongan alim hal penulisan untuk menegur cara penulisan, karya yang tidak seberapa yang akan diadakan dengan pacuan yang tidak seberapa tangkasnya. Allahurabbi. Salam sejahtera kepada yang mengungkapkan syahadah.Selamat datang.

Penulisan penulis ini akan berkisarkan semua hal kehidupan dari segi pemikiran, pengalaman dan buah-buah mutiara yang dikutip dari guru-guru yang mulia. InsyaAllah