Siapakah “Ahlul-Bait”

bismillah-910299_960_720

Semoga Allah Merahmati Baginda Muhammad s.a.w dan Ahlul Bait.

Para Sahabat Utama yang mulia.

Para Masyaikh Silsilah Naqshabandi Mujadidiah. Para Guru kami.

Dimulakan dengan bismillah atas nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Moga diampunkan dosa penulis dan pembaca dan diberi belas kasih-Nya.

Siapakah yang disebut sebagai Ahlul Bait.

Istilah Ahlul-Bait berasal dari firman Allah s.w.t sebagaimana yang telah termaktub didalam Al-Quran. Firman Allah:

Untitled

Mafhumnya:

Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat; dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya. Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan diri kamu – wahai “AhlulBait” dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari segala perkara yang keji).

(Surah Al-Ahzab: 33: 33)

Ahlul Bait bermaksud ” keluarga” atau “anggota rumahtangga”. Namun, terdapat perbezaan pendapat dikalangan  ahli tafsir.

  • Muhammad Jawad Maghniyyah dalam kitabnya yang berjudul “Al-Husain Wal Quran” halaman 18-19 menyatakan bahawa menurut riwayat ‘Ikrimah dan Az-Zayyad, ayat tersebut ditujukan khusus kepada para isteri Rasulullah s.a.w. kerana tafsiran ayat sebelumnya berkaitan dengan isteri baginda.
  • Sebahagian besar ahli tafsir berpegang pada riwayat Abu Sa’id Al-Khudhariy yang mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w pernah menegaskan: Ayat itu turun untuk lima orang, iaitu aku sendiri (Rasulullah s.a.w), Ali, Fatimah, Hasan dan Husein”.
  • Imam Tarmidzi mengetengahkan sebuah hadis yang dibenarkan oleh Jarir, Ibnu-Mundzir, Al-Hakim, Ibnu Mardawih dan Al-Baihaqi. Hadis tersebut berasal dari isteri Nabi s.a.w, Ummu Salamah. Beliau mengatakan ” Dirumahku turun ayat (diatas) dan ketika itu dirumahku terdapat Fatimah, Hasan dan Husein. Rasulullah s.a.w kemudian menutupi mereka dengan kain yang dipakainya sambil berkata: ” Mereka inilah ahli-baitku. Allah telah menghapuskan noda dan kotoran dari mereka dan telah mensucikan mereka”. 
  • Syeikh Muhammad Abduh dalam kitab tafsirnya “Al-Manar” dalam menafsirkan ayat 84 surah Al-An’am:

UntitledMahfumnya:

Dan Kami telah kurniakan kepada Nabi Ibrahim: (anaknya) Ishak (dari isterinya Sarah), dan (cucunya) Yaakub. Tiap-tiap seorang (dari mereka) Kami telah berikan petunjuk, dan Nabi Nuh juga Kami telah berikan petunjuk dahulu sebelum itu; dan dari keturunan Nabi Ibrahim itu (ialah Nabi-nabi): Daud, dan Sulaiman, dan Ayub, dan Yusuf, dan Musa, dan Harun. Dan demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amal perbuatannya.

  • Didalam tafsir surah diatas, Syeikh Muhammad Abduh mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang mafhumnya: ” Semua anak Adam bernasab kepada orang tua lelaki (ayah mereka), kecuali anak-anak Fatimah. Akulah ayah mereka dan akulah yang menurunkan mereka”. Hal ini ditegaskan lagi oleh sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dalam kitab “Al-Hakam” dan Imam Muslim dalam kitab ” Al-Imarah” iaitu hadis menerangkan bahawa Rasulullah s.a.w sambil menunjuk kepada dua orang cucunya yang mulia dan menyatakan: “Dua orang puteraku ini adalam Imam-imam, baik disaat mereka sedang duduk atau sedang berdiri”.

Dengan keterangan diatas, harap jelas kepada pembaca siapakah yang dimaksudkan dengan Ahlul-Bait dalam surah Al-Ahzab ayat 33 adalah Sayyidina Ali bin Abi Thalib r.a, Sayyiditina Fatimah r.a, Sayyidina Hasan bin Ali dan Sayyidina Husein bin Ali r.a. Penafsiran ini didefinisikan berdasarkan ucapan Rasulullah s.a.w sendiri sebagaimana yang diriwayatkan oleh banyak hadis yang sahih.  Wallahu’alam.

 

” Sampaikan Ilmu Setiap Hari, Inilah Saham yang tidak pernah rugi”

Leave a comment